Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah











Peribadi dan Sifatnya

Syeikh Abdul Fattah Rahimahullah memiliki terlalu banyak sifat yang mulia. Antaranya ialah kecintaannya kepada kesempurnaan dalam semua urusannya. Beliau amat menghormati tetamu, seorang yang amat berlemah lembut lagi pemaaf. Selain itu beliau sangat beradab dan berakhlak mulia, sangat lembut lisannya serta tidak pernah menyakiti seseorang dengan kata-katanya.

Syeikh juga sangat cerdas dan pandai memilih kata-kata. Beliau tidak akan melakukan sesuatu melainkan setelah dipertimbangkan secukupnya dan amat cermat lagi teliti dalam setiap urusannya. Beliau juga sangat penyabar dalam ketaatan dan ujian, sangat menjaga solatnya, sentiasa menunaikannya di awal waktu walau ketika penat atau sakit.
Beliau amat rajin membaca Al-Qur’an serta mempunyai wirid yang dibaca setiap pagi di samping amat banyak berzikir dan berwirid. Tidak akan didapati syeikh duduk tanpa urusan ilmiah, samaada menulis, mengajar, bermuzakarah atau memberi fatwa, melainkan beliau akan bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir.

Syeikh Abdul Fattah memiliki hati yang sangat lembut, mudah menitiskan air mata, sangat terkesan dengan setiap sesuatu. Air matanya mengalir laju ketika membaca Al-Qur’an dan berzikir, serta membaca kisah-kisah Salafus Solihin, dan ketika mendengar kelemahan dan kesusahan umat Islam, malah ketika beliau dipuji. Beliau sangat pedih atas kelemahan umat ini dan keadaannya, hingga beliau telah kehilangan sebelah pendengarannya apabila diceritakan oleh seseorang berkenaan apa yang menimpa umat Islam di sebuah negara. Beliau amat sedih apabila diceritakan demikian dan tidur pada malamnya dalam keadaan demikian. Apabila bangun dari tidur Syeikh mendapati darah mengalir daripada telinga kanannya, kemudian sebelah pendengarannya pun hilang.

Beliau telah diuji pula selepas itu dengan penglihatan yang semakin lemah, namun tidak pernah dilihat beliau mengadu atau mengeluh sebaliknya terus bersabar, malah ianya tidak menjadi penghalang baginya meneruskan kerja-kerja ilmiah. Beliau terus mengarang dan mentahqiq kitab, kerana bimbang ajal akan tiba, tetapi beliau tidak dapat mencurahkan ilmu di dadanya. Ketika sakitnya bertambah teruk, beliau tidak pernah mengeluh tetapi ketika terlalu sakit beliau hanya menyebut Ya Allah atau Lailahaillallah.

Syeikh Abdul Fattah sangat mengutamakan ilmu, sentiasa membaca, mentelaah atau menulis. Pena dan kertas sentiasa mendampinginya walau dalam bermusafir mahupun di waktu sakit. Beliau telah mengarang dan menamatkan sebahagian kitabnya dalam perjalanannya yang banyak, malah ada di antaranya ketika beliau sakit, 20 hari sebelum beliau kembali ke Rahmatullah.

Beliau juga amat sedikit tidur. Kedua-dua sifat ini menunjukkan beliau amat menjaga waktunya. Beliau juga tidak akan menyuruh kepada sesuatu melainkan beliau sendiri membuatnya, dan tidak akan melarang sesuatu perkara melainkan beliau sendiri meninggalkannya.

Syeikh dikurniakan akal fikiran yang amat cerdas dan hafalan yang kuat. Beliau merupakan seorang yang beramal dengan ilmunya, kuat beribadah, bertaqwa, soleh, wara’ lagi tawadhu’.
Semoga Allah memudahkan kita mencontohi akhlak dan peribadi para ulama dan solihin, kerana mencontohi orang yang mulia adalah suatu kemuliaan. Amin.

Petikan sebahagian dari buku Lembaran Hidup Ulama'

0 ulasan:

Catat Ulasan