Syeikh Mutawalli Syarawi







Sifat Peribadi dan Rahsia Dirinya

Syeikh Sya’rawi adalah merupakan Saiyidul Abidin yang dikurniakan dengan limpahan cahaya dan dapat melihat dengan cahaya Allah SWT. Sahabat akrabnya pernah beberapa kali mengintip perbuatannya di waktu malam. Ternyata didapati beliau tidak tidur malah didapati sedang asyik sujud mengabdikan diri kepada Allah SWT. Beliau menghidupkan malamnya dengan berdiri, rukuk, sujud dan membaca Al-Quran sepanjang malam sehingga mencapai 70 rakaat sembahyang bertahajjud kepada Allah SWT.

Sewaktu di Madinah Munawwarah dan Mekah, beliau berjalan tanpa menggunakan alas kaki sedangkan darjah kepanasan pada masa tersebut terlalu panas lebih kurang 50 C kerana memuliakan tempat tersebut. Maha Besar Allah sewaktu di Masjidil Haram beliau tidak melaksanakannya seperti orang lain yang pada kebiasannya bertawaf sebanyak tujuh kali. Rasa cintanya dengan Allah terlalu mendalam, walaupun dalam keadaan panas yang amat terik beliau mampu bertawaf sehingga 14, 21 dan 28 kali. Beliau pernah melarang maqam Nabi Ibrahim dipindahkan dari tempatnya dengan berpendapat bahawa maqam tersebut adalah tempat peribadatan haji dan tidak boleh diubah..

Beliau menyayangi kanak-kanak dan insan lain lebih dari anak-anaknya sendiri. Kecintaannya terhadap Rasulullah saw terlalu mendalam sehinggakan beliau sentiasa bertasbih dan bersalawat kepadanya. Insan yang benar-benar ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhan seharusnya menjadikan beliau antara contoh muqarrabin yang selayaknya diikuti. Beliau juga adalah seorang yang mantap ilmunya, kuat ingatannya dan insan kamil lagi mutakamil. Sewaktu membeli beliau tidak mengambil baki wang yang dihulurkan malah menyenangkan orang lain dalam muamalahnya. Sifat dermawannya tidak dapat disangkal lagi malah beliau adalah orang yang tidak pernah jemu menyalurkan gajinya di jalan Allah dengan menafkahkannya kepada faqir miskin di Daqadus dan tempat-tempat lain yang memerlukan. Namun beliau bukanlah seorang yang berbangga dengan amalnya malah beliau sentiasa menutupi setiap sumbangannya agar tidak diketahui oleh ‘tangan kirinya’.

Beliau memegang jawatan wazir hanya dari tahun 1976 hingga 1978 kerana memandangkan jawatannya ini tidak memberikan sesuatu kesan untuk dia melaksanakan Islam dengan baik. Bahkan beliau jarang dapat pulang kekampungnya dan melihat keluarganya. Sewaktu diminta oleh sahabatnya untuk membela dirinya yang difitnah pada masa tersebut, beliau akan memperingatkan sahabatnya dengan Ayat Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman dan yang sentiasa mendoakan bagi mereka yang sesat akan mendapat hidayah dan petunjuk dariNya”.

Tidak sampai sebulan sebelum kematiannya, sahabat karibnya, Muhammad As Sa’di menemuinya di hospital dan menceritakan kembali kepadanya tentang mimpinya bertemu dengan Saidatina Zainab yang telah berkata kepadanya “ Katakanlah kepada Sya’rawi, janganlah takut ”. Ternyata beliau masih ingat dengan mimpi tersebut yang menunjukkan beliau bukanlah seorang yang mudah terlupa.

Petikan sebahagian dari buku Lembaran Hidup Ulama'

2 ulasan:

farida ishaja berkata...


Tulisan ini sangat bermanfaat, menginsoirasi dan memotivasi. Syeikh Sya'rawi adalah ulama yang perlu diteladani, Semoga banyak arttikel yang ditulis tentang Almarhum. Terima kasih banyak atas publikasi ini.

farida ishaja berkata...

Terima kasih banyak. Maaf dalam komen saya ada salah ketik, mohon diperbaiki. Dalam baris pertama kata MENGINSOIRASI maksud saya MENGINSPIRASI..Semoga maklum.

Catat Ulasan